Search

459 pengusaha homestay berdaftar di Sabah

July 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 459 pengusaha inap desa atau homestay berdaftar di Sabah setakat ini membabitkan sebanyak 37 kluster di 17 daerah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata daripada 17 daerah terbabit, Kota Belud merekodkan kluster terbanyak iaitu sembilan.

Katanya, ia diikuti Kinabatangan dengan empat kluster serta masing-masing tiga kluster di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

“Selebihnya, masing-masing dua kluster di Papar, Beaufort, Ranau, Tambunan dan Tuaran, manakala masing-masing satu kluster di Kota Marudu, Kuala Penyu, Kudat, Penampang, Pitas, Semporna, Sipitang dan Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan DUN Sabah ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) mengenai perkembangan industri inap desa di negeri ini.

Sementara itu, Joniston berkata bagi menjalin keterlibatan secara berterusan dengan pengusaha homestay yang berdaftar, pihak kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selaku penyelaras program homestay.

“Pelbagai kursus ditawarkan oleh MOTAC untuk meningkatkan kemahiran kepada pengusaha homestay seperti kursus pemasaran digital, kursus asas bahasa, kursus Mesra Malaysia, kursus mengenai kelestarian alam dan lain-lain lagi.

“Pada masa sama, MOTAC juga sentiasa mengadakan mesyuarat tahunan bersama penyelaras kluster homestay bagi mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti masalah dihadapi termasuk isu semasa scammer dan penipuan,” katanya.

Jelas beliau, bagi mengelakkan kes penipuan, pihak MOTAC membangunkan laman sesawang Program Pengalaman Homestay Malaysia yang mana senarai pengusaha homestay boleh diperolehi.

Katanya, ia dijadikan panduan kepada pengguna, khususnya pelancong apabila mahu mendapatkan perkhidmatan homestay. – Info X