KOTA KINABALU: Seramai 495 mangsa daripada 159 keluarga dipindahkan akibat banjir di Beaufort dan Kota Kinabalu setakat pagi ini.
Daripada jumlah itu seramai 315 mangsa daripada 113 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di Beaufort berikutan banjir di daerah itu sejak tiga hari lalu.
Sementara itu, seramai 180 mangsa daripada 46 keluarga dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Al-Munir Kampung Darau berikutan banjir sejak petang Sabtu.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kebanyakan mangsa dipindahkan dari lapan kampung terjejas akibat banjir di Beaufort dan satu di Kota Kinabalu.

Bandaraya Kota Kinabalu disytihar dilanda bencana banjir bermula jam 9 malam tadi berikutan kejadian banjir di beberapa kawasan akibat hujan lebat berterusan, semalam.
Pengisytiharan bencana itu dikeluarkan Datuk Bandar Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Beberapa kawasan rendah, termasuk jalan raya khususnya di sekitar Manggatal, Inanam dan Kolombong dilapor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan pada siang tadi. – Info X