PENAMPANG: Sebanyak 50 rumah pekerja musnah dalam kebakaran di Jalan Penampang Baru, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.52 petang.
Katanya, sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama jentera dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 4.52 petang.
“Kebakaran membabitkan lima blok rumah pekerja yang mempunyai 10 pintu setiap blok musnah sepenuhnya.
“Pasukan bomba memadamkan api menggunakan dua aliran, empat pancutan dengan sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Kinabalu yang menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan iaitu sumber air dari tangki jentera,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi terkawal pada jam 5.50 petang dan pemadaman bara-bara api masih dijalankan oleh pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X