KOTA KINABALU: Seramai 5,123 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2025/2026 yang mula mendaftar pada 27 hingga 28 September 2025.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata jumlah itu melibatkan 4,167 pelajar di kampus induk Kota Kinabalu, 734 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.
“Jumlah ini merangkumi 3,648 (71.21%) pelajar dari Sabah, 928 (18.11%) dari Semenanjung, 453 (8.84%) dari Sarawak dan 73 (1.42%) dari Wilayah Persekutuan Labuan, manakala 21 (0.41%) pelajar antarabangsa.

“Pelajar antarabangsa datang dari lapan negara, iaitu China, Jepun, Korea, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia dan Timor Leste,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, pada Sabtu.
Kasim berkata, berdasarkan statistik itu, sejumlah 1,791 orang atau 34.96 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 3,332 orang atau 65.04 peratus pelajar perempuan.
“Pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu seramai 2,830 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, lapan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan 12 atlet sukan.
“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 1 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim ketika melakukan tinjauan di kolej kediaman berkata, kemudahan yang terdapat di kolej kediaman termasuk bekalan air pada tahap yang baik dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian kali ini.
“Pentadbiran universiti juga telah menetapkan masa-masa tertentu yang berbeza bagi urusan pendaftaran antara pelajar baharu sebagai usaha untuk mengelakkan kesesakan pada hari pendaftaran.
“Justeru, dapat dilihat suasana dan proses pendaftaran pada hari ini begitu teratur hasil penambahbaikan yang dilakukan,” katanya. – Info X