SANDAKAN: Polis Sandakan merekodkan 54 kes jenayah penipuan dalam talian membabitkan nilai kerugian RM4.3 juta dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, jenayah itu terus meningkat dan menjadi antara jenayah utama yang membabitkan mangsa dari pelbagai latar belakang termasuk golong profesional, ahli perniagaan dan pesara.
“Bagi tempoh 2024, keseluruhan 170 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian yang jauh lebih besar iaitu sebanyak RM23,062,232.60.
“Majoriti mangsa adalah individu berusia antara 31 hingga 50 tahun, dengan 61.11 peratus daripada mereka adalah lelaki manakala 38.89 peratus wanita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya memandang serius isu ini dan menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati serta tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat akaun bank kepada orang ketiga.
“Tindakan memberikan akaun bank kepada pihak lain, sama ada secara rela atau terpedaya, boleh menyebabkan seseorang itu menjadi ‘keldai akaun’.
“Individu yang disabitkan dengan kesalahan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000, penjara antara satu hingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, katanya polis akan terus menjalankan siasatan dan pemantauan bagi mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa, dan menggesa masyarakat supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan sebarang urusan dalam talian. – Info X