Search

551 peserta PKAN dirai pada Majlis Apresiasi di PKS Keningau

October 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 551 peserta Program Khas Anak Negeri Sabah (PKAN) di bawah Kumpulan Yayasan Sabah bakal diraikan pada Majlis Apresiasi PKAN di Pusat Kraftangan Sabah (PKS), Keningau, esok.

Peserta terbabit yang mengikuti beberapa program di bawah inisiatif PKAN berjaya menamatkan latihan selama lapan bulan dengan ramai antara mereka memberi tumpuan kepada kemahiran tertentu.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata sebahagian peserta mengasah kemahiran kraf tangan di PKS, manakala yang lain menjalani latihan di Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Katanya, program itu menawarkan pendekatan komprehensif yang merangkumi latihan kemahiran dan pembangunan keusahawanan, membekalkan peserta dengan pengetahuan dalam bidang kraf serta persediaan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran yang kompetitif.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar.

Beliau berkata, program itu memberi impak yang positif dari segi kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi peserta untuk dimanfaatkan bagi mengembangkan aktiviti ekonomi setempat.

“Individu berbakat, yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan B40, telah memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang berharga, memberdayakan mereka untuk bukan sahaja memelihara tetapi juga memperkayakan khazanah budaya Sabah.

“Dengan asas yang kukuh ini, mereka bersedia untuk berkembang maju dalam pasaran kraf yang kompetitif, sekali gus membuka peluang ekonomi yang signifikan untuk diri mereka dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jelasnya, inisiatif PKAN adalah pelaburan strategik untuk masa depan Sabah yang memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan dan pendapatan, terutama golongan B40, dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyertai ekonomi gig.

Pendekatan itu, katanya bukan saja membantu memupuk generasi baharu usahawan dan artisan, tetapi juga berupaya mencergaskan ekonomi tempatan, sekali gus menawarkan mereka laluan untuk keluar daripada kategori B40.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meraikan kekayaan warisan budaya Sabah, Program Craft Fiesta PKS juga akan diadakan pada 24 hingga 27 Oktober 2024 di PKS Keningau.

“Acara ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertunjukan fesyen yang mempamerkan bakat tempatan, bengkel interaktif dan pelbagai aktiviti keluarga yang menyeronokkan.

“Semua aktiviti ini direka khas untuk melibatkan komuniti secara aktif dan memupuk semangat kebersamaan,” katanya.

Majlis itu dijadual disempurnakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. – Info X