KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima lelaki dan seorang wanita kerana membantu kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 dan 2023.
Lima tertuduh lelaki ialah Mohd Fauzie Rablin, 34; Fazrul Bahar, 43; Shahlan Shah Abdul Samad, 38; Mazlan Mahmud, 49 dan Alkan Abraham, 36, manakala tertuduh wanita ialah Norsyafilah Pawawoi, 28.
Kesemua mereka mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng, terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 130W, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan selepas surat representasi mereka diterima mahkamah.
Pertuduhan asal terhadap kelima-lima tertuduh sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh lelaki menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 25 Disember 2023, manakala Norsyafilah diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula 1 Mac 2024, iaitu tarikh dia didakwa di Mahkamah Sesyen.
Mahkamah juga memerintahkan pertuduhan asal terhadap tertuduh digugurkan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap menerusi operasi risikan yang menyasarkan kumpulan jenayah terancang Geng Upik.
Siasatan mendapati kesemua tertuduh membantu Geng Upik dalam aktiviti pengedaran dadah di Sabah bagi kepentingan kumpulan itu dan memperoleh keuntungan material.
Geng Upik dikaitkan dengan beberapa kes dadah, termasuk tiga kes di Tawau dan satu di Manggatal, Kota Kinabalu.
Kelima-lima tertuduh adalah sebahagian daripada 15 individu yang pada mulanya didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik.
Lima lagi individu, iaitu Datuk Maslan Sani, 41; Zulkahar Dusing, 38; Nelson Yen Yee Chung, 46; Rahman Burijin, 44 dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45 masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Mahkamah menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan semula kes mereka, manakala perbicaraan dijangka bermula pada Jun depan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi, dan Nur Ainaa Ridzwan, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.
Mohd Fauzie dan Mazlan diwakili peguam Sylyester Kuan; Norsyafilah oleh Michelle Usman; Shahlan Shah oleh Luke Ressa Balang; Alkan dan Fazrul oleh Shahlan Jufri, manakala Maslan diwakili peguam Hamid Ismail; Nelson oleh Datuk Ram Singh, Rahman diwakili Jakariya Ab Jalil dan Jaisalfian oleh Muhamad Amirul Amin.
Pada Selasa, mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas empat individu kerana membantu Geng Upik. – Info X