Search

6 cedera, kemalangan babitkan 4 kenderaan

April 24, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Enam cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bundusan, berhampiran Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, pagi tadi.

Semua mangsa berusia 20 hingga 48 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 9.04 pagi.

Katanya, lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Bonney Yong Tze Yap bersama sebuah jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi.

“Kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu Proton X50, Perodua Myvi, Toyota Camry dan Honda BR-V.

“Enam mangsa dilaporkan cedera ringan dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Bundusan, Penampang. – Foto/Bomba

Menurutnya, semua mangsa cedera diserahkan kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

“Sebaik memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 9.57 pagi,” katanya.

Operasi menyelamat turut dibantu BBP Kota Kinabalu. – Info X