SEMPORNA: Enam termasuk bayi yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37 Jalan Semporna – Tawau, di sini, petang tadi, mempunyai pertalian keluarga.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, mangsa yang maut membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara enam bulan hingga 82 tahun.
Katanya, nahas yang membabitkan tiga kenderaan iaitu Isuzu D Max, Toyota Innova dan Proton Wira dipandu oleh lelaki warganegara.
“Siasatan awal mendapati pemandu Isuzu D Max berusia 31 tahun dan Toyota Innova berusia 29 tahun, dalam perjalanan dari Semporna menuju ke arah Tawau manakala pemandu Proton Wira berusia 34 tahun dari arah Tawau menuju Semporna.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Proton Wira telah masuk ke laluan bertentangan lalu berlaku perlanggaran dengan Isuzu D Max dan seterusnya dilanggar oleh Toyota Innova,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu pemandu Proton Wira parah manakala lima maut di tempat kejadian.
“Pemandu Proton Wira yang parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Semporna.
“Kelima-lima mangsa yang maut adalah penumpang Proton Wira dan semua mangsa ada pertalian keluarga,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Bagi membantu siasatan, mana-mana individu yang melihat kejadian dan mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 dan balai polis di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Sehubungan itu juga, adalah dinasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati serta bertimbang rasa ketika berada di atas jalan raya,” katanya. – Info X