Search

608 mangsa banjir dipindah di 3 daerah

February 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat semula kepada 608 orang daripada 162 keluarga di Beaufort, Keningau dan Kinabatangan, setakat jam 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, berkata jumlah itu berikutan peningkatan mangsa di daerah Keningau dan Beaufort.

Katanya PPS Selagon di Beaufort yang dibuka semula sejak tengah hari semalam, menempatkan seramai 223 mangsa daripada 65 keluarga berbanding 149 mangsa pada malam tadi.

“Di Keningau, jumlah mangsa yang dipindahkan setakat pagi ini ialah 132 orang daripada 32 keluarga di dua PPS iaitu di Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau (MDK) dan Dewan Masyarakat Keningau berbanding 77 mangsa malam tadi.

“Dewan Masyarakat Keningau baru dibuka semalam berikutan peningkatan mangsa selepas banjir melanda sekitar pekan Keningau dan beberapa kampung berhampiran sungai kelmarin,” katanya.

Sementara itu, daerah Kinabatangan kekal merekodkan seramai 253 mangsa daripada 65 keluarga yang ditempatkan sementara di dua PPS berikutan banjir di beberapa kampung sejak 29 Januari lalu.

Semalam, PPS Selagon di Beaufort dibuka semula selepas air Sungai Padas kembali melimpahi tebing dan menenggelami beberapa kampung berhampiran sungai.

Pembukaan semula PPS Selagon di Beaufort dan tambahan satu PPS di Keningau semalam menjadikan lima PPS mangsa banjir beroperasi di Sabah setakat pagi ini. – Info X