SANDAKAN: Seramai 616 tahanan warga Filipina yang sebelum ini ditahan di empat depot Imigresen di Sabah dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 18/2025, semalam.
Program pemindahan itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, menggunakan kapal MV Antonia 1.
Semua tahanan terdiri daripada 377 lelaki, 134 wanita, 85 kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, serta 20 bayi bawah dua tahun yang dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing bagi memastikan proses berjalan dengan selamat dan teratur.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan ini membabitkan tahanan dari empat depot iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau, dengan purata umur tahanan antara satu bulan hingga 71 tahun.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 8,956 tahanan asing sudah dipindahkan pulang ke negara asal sejak awal tahun, termasuk 6,835 warga Filipina, 1,751 warga Indonesia, 221 warga Pakistan, 78 warga China, 34 warga Vietnam, 10 warga India, tiga warga Thailand dan 24 warga lain-lain negara.
Katanya, semua tahanan terbabit telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki Travel Document (TD) yang sah sebelum proses penghantaran dijalankan.

“Proses pemindahan tahanan ini bergantung kepada tindakan segera pihak kedutaan masing-masing dalam mengeluarkan TD kerana ia memberi kesan kepada tempoh keberadaan mereka di depot.
“Justeru, Jabatan Imigresen Malaysia amat menghargai kerjasama serta keprihatinan pihak kedutaan bagi memastikan proses penghantaran berjalan lancar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru majikan di Sabah supaya menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing khususnya dalam sektor perladangan.
Katanya, inisiatif itu dijangka dapat mengekang isu penggunaan pelbagai dokumen serta lambakan PATI di negeri ini.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Majikan boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya. – Info X