Search

64 mangsa kebakaran Kampung Likas ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Likas

March 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 64 mangsa dalam insiden kebakaran membabitkan lapan rumah di Kampung Likas, di sini, awal pagi semalam, ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Serbaguna Likas, di sini.

Semua mangsa terdiri daripada 27 lelaki dewasa, diikuti perempuan dewasa (12 orang), kanak-kanak lelaki (enam orang), kanak-kanak perempuan (15 orang), bayi lelaki (dua orang) dan bayi perempuan (dua orang).

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, turut meninjau keadaan mangsa yang merangkumi 15 Ketua Isi Rumah (KIR) itu, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon, dan wakil Jabatan Kesejahteraan Masyarakat (JKsM) serta Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

Kejadian kebakaran berkenaan dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi semalam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala semua mangsa sudah dipindahkan ke PPS pada tengah hari semalam.

Sabin meninjau rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Likas.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) turut menyediakan keperluan peribadi untuk kegunaan mangsa di PPS seperti tilam, bantal, selimut, syampu, sabun, baldi, berus gigi dan sebagainya.

JPKA turut membekalkan makanan berbungkus bagi mangsa yang tidak berpuasa, manakala JKsM DBKK memastikan dewan berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk didiami sementara. – Info X