KOTA KINABALU: Seramai 64 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan serentak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Kesemua mereka ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Di Kota Kinabalu, menerusi Ops Selera, seramai 38 individu diperiksa dengan tujuh warga asing ditahan membabitkan enam warga Filipina dan seorang lelaki warga Pakistan.
Sementara itu, di Sandakan, Ops Bersama dan Ops Kutip menyaksikan 145 individu diperiksa sebelum 28 warga asing ditahan.
Tangkapan di daerah itu membabitkan 21 warga Filipina, tiga warga India serta empat warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak.

Di Tawau pula, seramai 66 individu diperiksa menerusi Ops Kutip dan Ops Belanja dengan 29 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka terdiri daripada lima warga Filipina dan 24 warga Indonesia, termasuk beberapa kanak-kanak.
Secara keseluruhan, seramai 249 individu diperiksa dalam operasi di ketiga-tiga daerah berkenaan sebelum 64 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

JIM Sabah dalam kenyataannya berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurutnya, tindakan berterusan itu juga bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara. – Info X