Search

66 mangsa dipindah akibat banjir di Keningau

February 6, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seramai 66 mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan selepas banjir melanda beberapa kawasan di daerah ini, malam tadi.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN), semua mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau (MDK).

Jumlah berkenaan direkodkan setakat jam 5 pagi tadi.

Sejurus banjir malam tadi, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah melaksanakan kerja pemindahan dan menyelamat mangsa di sekitar kawasan terjejas.

Banjir dilaporkan melanda beberapa kawasan di daerah ini termasuk lokasi rendah di sekitar pekan Keningau sejak malam tadi akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Anggota APM melaksanakan kerja pemindahan dan menyelamat mangsa banjir di Keningau.

Difahamkan, kejadian banjir di pekan itu adalah yang pertama dilaporkan.

Berikutan situasi itu, Keningau menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Sabah selepas beberapa daerah di utara dan pantai timur pada minggu lalu.

Setakat ini, Kinabatangan turut dilapor masih berdepan bencana banjir dengan seramai 253 mangsa masih berada di dua PPS. – Info X