PUTATAN: Nasib tujuh kanak-kanak yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kinabatangan, baru-baru ini mendapat perhatian Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Dua agensi itu bersama sebuah penyedia dana pendidikan anak Sabah, iaitu Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) tampil memberikan sumbangan dan bantuan kepada kanak-kanak terbabit yang masing-masing empat bersekolah rendah, manakala tiga belum bersekolah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ketika melawat kanak-kanak terbabit, di sini, pada Ahad, berkata mereka yang kini dijaga ibu saudara memerlukan bantuan dan sokongan untuk menjalani kehidupan setelah kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata.
Katanya, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara di Iramanis turut terbabit dalam memastikan empat anak yang bersekolah dapat meneruskan pembelajaran dengan sokongan moral dan semangat daripada guru dan persatuan.

“Tadi kita bersama-sama dengan pengerusi atau Yang Dipertua PIBG dan Penolong Kanan SK Mutiara dan antara yang kita akan lakukan dalam masa terdekat ini membantu keluarga ini yang sekarang diketuai oleh makcik mereka melalui MUIS.
“Mereka akan diberikan bantuan bulanan kebajikan daripada MUIS RM400 untuk anak-anak ini dan tadi juga MUIS melalui bahagian zakat dan fitrah membantu RM1,000 untuk perbelanjaan anak-anak ini.
“Demikian juga Perbadanan Baitulmal memberikan sumbangan kepada setiap seorang anak-anak ini RM500 masing-masing dan ia akan dikendalikan oleh penjaga anak-anak ini untuk menjalani kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, pihak TPNS pula akan berbincang dengan pihak sekolah SK Mutiara dan PIBG bagaimana untuk membantu kanak-kanak terbabit yang masing-masing berada di kelas Prasekolah, Tahun Satu, Tahun Lima dan Tahun Enam.
Arifin yang juga EXCO Agama dan EXCO Pendidikan, berkata kerajaan negeri tidak akan meminggirkan kanak-kanak terbabit kerana mereka memerlukan bimbingan, lebih-lebih lagi mereka baru di bangku sekolah rendah.

“Kita akan bantu untuk membolehkan mereka menjalani pembelajaran sepanjang mereka berada di sekolah kebangsaan, sekolah rendah dan insyaAllah kita akan bantu juga mereka apabila sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah .
“Kita akan berbincang untuk mendapatkan dokumen berhubung dengan anak-anak ini, keperluan-keperluan mereka dan juga insyaAllah sekiranya mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi ke IPT, insyaAllah pada masa hadapan kerajaan akan membantu anak-anak ini seperti mana kita membantu anak-anak yang lain.
“Saya juga tadi menyatakan kepada PIBG sekolah dan kepada Penolong kanan sekolah sekiranya ada anak-anak yang senasib dengan mereka juga kita akan bantu.
“Demikian juga di kawasan-kawasan yang lain di seluruh negeri Sabah, mana-mana anak-anak yatim piatu yang terlepas pandang, kita akan cari jalan membantu mereka,” katanya.
Arifin berkata, beliau akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang akan berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua serta sekolah di seluruh negeri.
Katanya, mana-mana sekolah yang ada anak yatim piatu perlu dimaklumkan agar tiada yang terlepas pandang menerima bantuan yang disediakan kerajaan kepada golongan berkenaan.
Dalam insiden pada awal minggu lalu, tujuh beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 121, berhampiran Masjid Takala, Kampung Paris 1, Kinabatangan.
Pasangan suami isteri masing-masing berusia 34 tahun itu menumpang sebuah kereta jenis Toyota Avanza bersama seorang rakan dalam perjalanan dari arah Lahad Datu ke Kota Kinabalu, sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Kedua-duanya mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kinabatangan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.43 petang hari yang sama.
Ends