KOTA KINABALU: Tujuh kumpulan penjenayah pecah rumah dan peti besi berjaya ditumpaskan selepas tertangkapnya seramai 64 individu termasuk ketua serta ahli kumpulan berkenaan.
Semua penjenayah itu ditahan oleh pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menerusi Op Black Shadow dari Julai hingga Oktober ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pelbagai kejadian jenayah yang berlaku di negeri ini antara jenayah yang menarik perhatian Polis Sabah adalah jenayah pecah rumah dan peti besi.
Katanya, kejadian jenayah itu berlaku di beberapa daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Ranau dan beberapa daerah lain.
Menurutnya, perangkaan yang direkodkan bagi pecah rumah di negeri ini sebanyak 1,028 kes bagi tempoh Januari hingga September berbanding 983 kes pada tahun 2022 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 35 kes.

“Melihat kepada senario ini, Polis Sabah melalui JSJ IPK Sabah melancarkan Op Black Shadow bermula awal Jun bagi memfokuskan kepada tindakan komprehensif dan bersepadu terhadap penjenayah pecah rumah dan peti besi yang berlaku.
“Hasilnya, Polis Sabah berjaya menumpaskan tujuh kumpulan bersendiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan peti besi.
“Kumpulan terbabit dikenali sebagai Boy Lembaga, Amekgay, Kanchil, Sultan, Along, Tumpong dan kumpulan Boy Penampang,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, seramai 64 individu ditangkap yang terdiri daripada 51 warga tempatan dan 13 lagi warga asing berusia 22 hingga 45 tahun.
Katanya, tangkapan ini turut membabitkan individu yang bertindak sebagai pembeli barang-barang hasil kegiatan jenayah kumpulan berkenaan.
“Ada juga penjenayah yang ditahan bekerja di sektor kerajaan dan swasta namun penglibatan mereka tidak langsung iaitu menjual dan barang hasil curi.
“Kebanyakan tangkapan adalah penagih dadah dan kita tidak menolak kemungkinan kumpulan-kumpulan kenal antara satu sama lain dan polis masih mengesan lagi kumpulan yang terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan,” katanya.
Jelasnya Jauteh, hasil kejayaan ini, sebanyak 83 kes pecah rumah dan peti besi berjaya diselesaikan yang membabitkan kerugian mencecah RM1.2 juta.

“Polis turut berjaya merampas semula beberapa barang berharga dan peribadi milik mangsa yang terbabit.
“Modus operandi yang dijalankan kumpulan ini juga adalah dengan mensasarkan rumah-rumah mewah yang kosong di kawasan taman perumahan yang dipercayai mempunyai peti besi.
“Kumpulan ini juga menggunakan motosikal yang disewa atau motosikal curi dengan memalsukan nombor pendaftaran kereta untuk melakukan aktiviti pecah rumah.
“Selain itu, kumpulan ini memecah masuk melalui pintu utama ataupun pintu di bahagian dapur dengan cara umpil menggunakan kuku kambing atau besi telimbok,” katanya.
Tambah beliau lagi, tangkapan yang terbabit disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Kesiksaan, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X