Search

7 selamat dalam insiden bot berlanggar di laut Semporna

July 10, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Tujuh individu termasuk jurumudi terselamat selepas bot penumpang yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lagi bot di perairan Seafest, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, semua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, bot penumpang jenis kayu itu dalam perjalanan ke pekan manakala bot fiber membawa pelancong dalam perjalanan ke pulau dan berlaku perlanggaran ketika melalui laluan keluar masuk bot.

Kejadian berlaku kira-kira 500 meter sebelum sampai ke jeti utama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Akhimullah Adan berkata, sebaik menerima panggilan jam 9.08 pagi, sepasukan lima anggota digerakkan ke lokasi menggunakan bot aluminium.

“Sebaik tiba di lokasi benar berlaku perlanggaran antara bot. Terdapat tujuh penumpang termasuk jurumudi bot di atas bot berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Semua penumpang berkenaan dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mereka kemudian dihantar balik ke Kampung Hidayat Balembang, di sini.

“Operasi terkawal pada jam 9.22 pagi sebelum tamat sepenuhnya kira-kira lapan minit kemudian,” katanya. – Info X