Search

74 ‘scammer’ warga China dilanjut tahanan reman

April 11, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Perintah tahanan reman terhadap 74 warga China yang dipercayai terbabit sindiket penipuan dalam talian selepas ditahan di sebuan resort, di sini, Selasa lalu, disambung antara dua hingga tiga hari lagi setelah tempoh sebelum ini tamat hari ini.

Lanjutan tempoh tahanan reman itu diberikan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Dayana Adillah bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek.

Mahkamah membenarkan seramai 57 suspek direman selama dua hari lagi, manakala 17 lagi suspek dilanjutkan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Semua suspek berumur antara 17 hingga 46 tahun itu turut dibenar mendapatkan khidmat peguam dan berhubung dengan ahli keluarga masing-masing.

Mahkamah juga membenarkan suspek yang mempunyai masalah kesihatan dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut serta membolehkan mereka membuat laporan polis jika mendakwa dikasari ketika dalam tahanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

Pada 7 April lalu, seramai 80 individu ditahan dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam, masing-masing 78 warga China termasuk empat wanita, selain seorang warga Myanmar dan seorang warga Laos.

Daripada jumlah itu, enam orang termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun masih diminta untuk membantu siasatan jika diperlukan.

Operasi dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau.

Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis di sebuah resort sebagai pusat operasi dan panggilan.

Sindiket terbabit juga dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari China bagi memperdaya mangsa, khususnya warga Amerika Syarikat berketurunan Cina.

Pelbagai barangan dirampas dalam termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, beg, pasport, sepanduk, modem dan pakaian seragam polis China. – Info X