LABUAN: Cubaan menyimpan sejumlah besar petrol dipercayai untuk tujuan penyelewengan terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menyerbu sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Sungai Keling, di sini, semalam.
Dalam serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Hasil pemeriksaan di lokasi, anggota penguat kuasa menemui 20 gelen dan dua drum mengandungi cecair disyaki petrol dengan anggaran keseluruhan sebanyak 750 liter.
Siasatan awal mendapati barang kawalan berjadual berkenaan dipercayai disimpan tanpa permit atau kebenaran bertulis yang sah daripada KPDN.
Susulan itu, semua barang kes disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,940.

Lelaki yang berada di lokasi kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan serta penyimpanan barang kawalan berjadual berkenaan.
KPDN Labuan dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyelewengan membabitkan barang kawalan dan akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalah guna.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Katanya, orang ramai juga diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN bagi membantu membanteras ketirisan subsidi di negara ini. – Info X