Search

769 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

May 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 769 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, berjaya dihantar pulang pada program pemindahan tahanan asing ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Sabah.

Semua PATI yang dihantar pulang semalam itu membabitkan bayi, kanak-kanak dan dewasa berusia tiga hingga 70 tahun yang sebelum ini ditahan dari Depot Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan PATI dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Zamboanga City, Filipina, menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1.

PATI dihantar pulang ke negara asal menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1. – Foto/JIM

Katanya, tahanan PATI terdiri daripada 438 lelaki dewasa, 140 wanita dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 93 kanak-kanak perempuan.

“Semua kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, seramai 4,762 orang warganegara Filipina telah balik ke negara asal dan menyumbang kepada jumlah keseluruhan PATI di bawah program pemindahan tahanan asing ke negara asal dari Sabah sahaja iaitu seramai 5,620 orang.

“Semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai Travel Documents (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal.

Sebahagian PATI yang dihantar pulang pada program pemindahan tahanan asing ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Zamboanga City, Filipina. – Foto/JIM

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot JIM Sabah untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang,” katanya. – Info X