SEPANGGAR: Lapan kampung nelayan di sekitar kawasan ini wajar diiktiraf sebagai kampung warisan bagi mengekalkan identiti tradisinya.
Kampung nelayan terbabit ialah Kuala Manggatal, Wak Wak, Gentisan, Sabang, Kebagu, Unggun, Karambunai dan Kampung Rampayan.
Membangkitkan perkara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata menerusi inisiatif itu, sebarang pembangunan perlu dibincangkan dengan masyarakat kampung.
Katanya, pihak kerajaan tidak boleh membangunkan sesuatu kawasan warisan tanpa berbincang dengan masyarakat dan mencari penyelesaian yang sesuai sebagai jalan tengah.
“Pembangunan yang membabitkan kampung nelayan juga mesti memberi manfaat dan impak yang positif kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sesi Dialog Bersama Masyarakat Nelayan Karambunai di Kampung Kuala Manggatal, di sini.

Aliakbar yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, berkata dialog itu menjadi antara alternatif penyelesaian isu yang melibatkan kampung nelayan.
Katanya, program itu juga dilaksanakan bagi memenuhi permintaan masyarakat nelayan di Sepanggar.
“Program ini membuka ruang dan peluang kepada nelayan untuk mengemukakan persoalan berkaitan subsidi, zon penangkapan ikan, penguatkuasaan dan tekanan pembangunan kepada agensi kerajaan yang hadir,” katanya.
Turut hadir pada sesi dialog itu ialah wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Sabah Ports, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah, Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) Wilayah Pantai Barat, Jabatan Laut Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah.
Sementara itu, seorang nelayan Mohamad Yusri berkata kehadiran lapan agensi utama pada program itu menunjukkan kepercayaan mereka kepada Aliakbar sebagai penghubung di antara nelayan dengan pihak berkuasa.
“Permintaan kami mendapat maklum balas yang pantas dengan hanya mengambil masa seminggu untuk berjumpa dengan agensi berkaitan nelayan, kami sangat bersyukur dan amat berterima kasih,” katanya. – Info X