Search

8 kenderaan terperangkap akibat banjir kilat di Jalan Rumah Persekutuan, Sembulan

January 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lapan pemandu berdepan detik cemas selepas kenderaan masing-masing terperangkap akibat banjir kilat di Jalan Rumah Persekutuan Sembulan, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke lokasi berjaya membantu mengalihkan semua kenderaan yang terperangkap.

Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, kejadian disedari pemilik kenderaan sebelum bertindak menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu, kira-kira jam 3 petang, bagi mendapatkan bantuan.

Susulan laporan itu, katanya, Pasukan Skuad Bravo digerakkan bagi menjalankan khidmat khas banjir.

Pasukan APM bantu mengalihkan kenderaan yang terperangkap akibat banjir kilat di Jalan Rumah Persekutuan Sembulan, Kota Kinabalu.

“Lima anggota yang tiba di Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) segera menjalankan operasi mengalihkan kenderaan terperangkap banjir.

“Lapan kenderaan berjaya dialihkan sepenuhnya ke kawasan selamat dan operasi ditamatkan jam 3.45 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua pemandu kenderaan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Sehubungan itu, Aizex menasihatkan orang awam supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang tidak menentu untuk memastikan keselamatan kekal terjaga. – Info X