Search

84 PATI ditahan dalam 15 operasi imigresen di lima daerah Sabah

October 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 15 operasi penguatkuasaan di lima daerah negeri ini, sepanjang empat hari bermula 5 Oktober lalu.

Operasi yang dijalankan di Tawau, Semporna, Sandakan, Keningau dan Kudat itu menyaksikan seramai 293 individu diperiksa bagi mengesan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI selain mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Katanya, semua operasi yang dijalankan bermula 5 hingga 8 Oktober lalu turut diketuai beliau sendiri di beberapa lokasi strategik sekitar daerah terbabit.

“Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 51 individu adalah warga Filipina membabitkan 22 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa serta enam kanak-kanak.

“Selain itu, 28 warga Indonesia turut ditahan membabitkan masing-masing 14 lelaki dan wanita dewasa,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sh Sitti Saleha berkata, tangkapan selebihnya membabitkan tiga lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Vietnam.

Katanya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan di lokasi strategik bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan kemudahan imigresen tidak disalahgunakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan PATI boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM. – Info X