Search

84 persatuan etnik tandatangani deklarasi rumpun Momogun

August 2, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Sebanyak 84 persatuan etnik mewakili masyarakat Orang Asal atau Anak Negeri Sabah menghadiri Konvensyen Perdana Momogun dan menandatangani deklarasi rumpun Momogun, di sini, semalam.

Daripada jumlah itu, 75 persatuan etnik bersetuju dan menandatangani deklarasi supaya istilah ‘Momogun’ digunakan sebagai nama rumpun masyarakat Orang Asal atau Anak Negeri Sabah daripada komuniti penutur Dusunic, Murutic dan Paitanic.

Penutupan konvensyen anjuran Momogun National Congress (MNC) itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, semalam.

Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata, deklarasi itu adalah satu keputusan dasar yang sangat besar selepas konvensyen pertama pada awal 1960-an bagi memilih nama bangsa Kadazan, Dusun atau Momogun pada ketika itu.

Ewon merasmikan Konvensyen Perdana Momogun di Penampang.

Ewon berkata, konvensyen itu bukan untuk mencipta satu nama bangsa yang baharu tetapi satu nama rumpun atau ‘generic term’ bagi menggantikan istilah ‘Lain-Lain’ yang digunakan dalam borang-borang kerajaan selama ini.

“Bukan hanya nama rumpun kita sahaja yang penting tetapi juga substance atau inti sikap, pemikiran, disiplin dan integriti masyarakat Momogun antaranya progresif, inovatif, rajin, bekerja keras, berkepimpinan, bertadbir urus dan boleh meraih perbezaan.

“Di samping itu, Momogun juga harus memperkasa persamaan dan mencetuskan ‘success stories’ atau pencapaian-pencapaian dan kejayaan-kejayaan yang boleh menjadi inspirasi atau motivasi terutama kepada generasi akan datang.

“Saya turut menyatakan pembudayaan nama rumpun Momogun harus bermula daripada pertubuhan-pertubuhan yang telah mendukung dan menandatangani deklarasi tersebut melalui penulisan, pengucapan dan pengisian program,” katanya.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, beliau tetap seorang Kadazan dan berbangga dengan bahasa Kadazandusun, walaupun menyokong nama rumpun Momogun.

Ewon bersalaman dengan wakil persatuan orang asal pada Konvensyen Perdana Momogun di Penampang.

“Dalam penyediaan dasar-dasar ekonomi Kerajaan, data dan statistik rakyat menjadi asas pembuatan dasar. Justeru dengan deklarasi hari ini dan keputusan dasar oleh himpunan pertubuhan-pertubuhan ini dapat membuka ruang kepada banyak perkara positif mengenai masyarakat ini dan peranan serta sumbangan mereka terhadap negara.

“Saya katakan sebagai masyarakat majoriti di Sabah, tidak wajar masyarakat itu diletakkan dalam istilah ‘Lain-Lain’ dalam borang-borang rasmi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata deklarasi yang ditandatangani untuk merumpunkan suku-suku kaum orang asal dan anak negeri Sabah sebagai rumpun ‘Momogun’ amat positif.

“Saya menyokong deklarasi itu dan ada tanggungjawab untuk membawa perkara ini kepada kerajaan persekutuan,” katanya. – Info X