KOTA KINABALU: Seramai 89 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi bersepadu yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan.
Operasi yang dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa itu turut menyasarkan individu yang dipercayai melanggar undang-undang imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas yang dikeluarkan.
JIM Sabah dalam kenyataan malam ini berkata, di Kota Kinabalu, operasi bersepadu bersama Unit Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeriksa seramai 234 individu sebelum menahan 15 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, 14 adalah warga Filipina membabitkan tujuh lelaki dan tujuh wanita dewasa, manakala seorang lagi adalah wanita warga Indonesia.
“Sementara itu di Lahad Datu, operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memeriksa 141 individu dan menahan 62 warga asing.
“Tangkapan membabitkan 54 warga Filipina iaitu 33 lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, selain lapan warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita dewasa,” katanya.
Di Sandakan pula, menurutnya operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 66 individu sebelum menahan 12 warga asing.
“Mereka terdiri daripada 10 warga Filipina membabitkan tiga lelaki dan tujuh wanita dewasa serta dua warga Indonesia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.
“Semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara. – Info X