KINABATANGAN: Sembilan pekerja sebuah ladang kelapa sawit, di sini, dikejarkan ke hospital selepas disyaki terhidu racun serangga, hari ini.
Semua mangsa dipercayai terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 ketika menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di ladang seluas lapan hektar, kira-kira jam 9 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan media berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
“Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Semua pekerja yang terlibat dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian bertindak menutup kawasan dan membuat persempadanan (memasang sawar-sawar) bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud.
“Pasukan bomba kemudian menasihati pemilik ladang untuk sentiasa menggunakan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai ketika kerja-kerja meracun.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan 6.40 petang,” katanya. – Info X