Search

908 rumah atas air hangus tahun lalu

October 19, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sebanyak 908 buah rumah di perkampungan atas air di Sabah musnah dalam kebakaran sepanjang tempoh tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong berkata, angka berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding pada 2021 iaitu sebanyak 250 buah rumah yang musnah akibat kebakaran.

“Nilai kerugian yang terlibat juga adalah tinggi iaitu RM25.5 Juta pada 2022 berbanding kerugian berjumlah 6.7 Juta pada tahun 2021,” katanya

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pentauliahan 40 ahli Pasukan Bomba Komuniti (PBK) peringkat Zon Kota Kinabalu membabitkan empat buah perkampungan atas air iaitu Kampung Tanjung Aru, Numbak, Meruntum dan Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Datuk Seri Safar Untong

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Abdul Razak Muda.

Safar yang juga Timbalan Bomba (Kehormat) berkata, kebakaran di perkampungan atas air adalah cabaran terbesar pasukan penyelamat khususnya pasukan Bomba semasa membuat pengurusan insiden kebakaran.

Katanya, ia disebabkan faktor akses logistik dan aset yang sukar serta risiko kecederaan dan keselamatan nyawa kepada anggota penyelamat.

Sehubungan itu, beliau berkata, penubuhan PBK atas air penting dalam mencegah kejadian kebakaran bagi bagi perkampungan atas air di Sabah.

“Penubuhan PBK atas air mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam komuniti terbabit dan ahli yang terpilih akan menjalani modul teknik pemadaman.

“Modul ini juga menekankan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal dengan mempelajari punca berlakunya kebakaran, mengetahui tindakan apabila menghadapi kebakaran di rumah.

“Latihan pengosongan rumah yang dijalankan secara bersistematik serta tatacara penggunaan alat pemadam api dengan cara yang betul serta tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam rumah apabila berlakunya kebakaran mampu dipraktikkan semasa berlakunya kebakaran sebenar,” katanya.

Sementara itu, Safar berkata, agensi kerajaan persekutuan dan negeri perlu menggembleng tenaga dalam usaha meminimumkan risiko kemusnahan akibat kebakaran.

Katanya, penubuhan PBK dilihat sebagai langkah yang proaktif dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menangani insiden kebakaran rumah di atas air.

Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha JBPM Sabah menyelaras program PBK atas air yang pertama di Malaysia dan diharap agar program sebegini diteruskan di masa hadapan di zon-zon lain. – Info X