Search

Polis Sabah terima RM32.2 juta selenggara kuarters daif

May 16, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah menerima RM32.215 juta daripada RM98.715 juta yang diperuntukkan kepada PDRM untuk kerja penyelenggaraan kuarters daif pasukan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi berkata, kerajaan bersetuju meluluskan pembaikan kuarters lif dan sebagainya bagi kebajikan anggota penguatkuasa dan unit beruniform yang ada di KDN termasuklah PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Penjara Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tahun ini sebanyak RM200 juta.

Katanya, PDRM diperuntukkan sebanyak RM98 juta dengan pembahagian kira-kira RM30 juta masing-masing bagi semenanjung dan Sarawak manakala RM32 juta bagi Sabah.

“Pembaikan ini membabitkan kuarters PDRM yang daif termasuklah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Daerah (IPD), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Saya akan pastikan peruntukkan sebanyak RM98 juta ini dapat dibelanjakan pada tahun ini khususnya bagi memberikan keselesaan anggota dan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Dalam majlis itu, sebanyak 102 unit kuarters masing-masing dua unit Kelas E dan 100 unit Kelas F, dewan serbaguna, tadika dan taska serta bangunan sokongan lain diserahkan dan boleh didiami untuk kegunaan anggota polis di Balai Polis Inanam serta anggota di IPD Kota Kinabalu.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan ini mampu memberikan keselesaan kepada anggota polis dalam melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada KDN akan melaksanakan penyelenggaraan terhadap perumahan Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sabah yang sudah usang, beliau berkata, perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

“Jabatan Penjara Malaysia antara agensi yang menerima peruntukkan sebanyak RM200 juta dengan pengagihan kira-kira RM40 juta kepada jabatan ini.

“Saya yakin Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sabah adalah antara salah satu kuarters yang termasuk dalam pembaikan ini,” katanya. – Info X