KENINGAU: Lebih 100 penduduk dari lima kampung di Nabawan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur, di sini, pagi tadi.
Mereka yang mula berkumpul kira-kira 9 pagi itu dipercayai untuk menyerahkan surat mohon penjelasan daripada Jabatan Tanah dan Ukur Keningau berkenaan isu nama penduduk kira-kira lebih 100 orang yang tercicir daripada senarai nama dalam geran komunal di Sepulut.
Selain itu, difahamkan tujuan kedatangan NGO berkenaan ke Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, adalah untuk memohon penjelasan kenapa geran komunal tidak ditukar kepada geran Native Title (NT).
Surat itu kemudian diserahkan oleh lima wakil kampung yang mewakili penduduk dan wakil NGO berkenaan kepada pegawai Jabatan Tanah dan Ukur Keningau.
Beberapa klip video itu turut tular di media sosial menunjukkan sebahagian mereka memakai pakaian tradisional suku kaum Murut sambil bermain alat muzik tradisional.
Tiada kekecohan dan insiden yang tidak diingini berlaku. Orang ramai bersurai kira-kira jam 11.30 pagi. – Info X