KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Juil Nuatim, hari ini mengumumkan keluar daripada parti untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas.
Tindakan ADUN Limbahau itu dibuat ketika Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti lompat parti dijangka dibawa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu depan.
Bagaimanapun, Juil berkata beliau belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti, sebaliknya akan kekal sebagai ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Buat masa ini saya akan kekal sebagai ADUN bebas,” katanya, di sini, hari ini.
Juil memenangi kerusi DUN Limbahau atas tiket Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 sebelum keluar dari parti itu pada Disember 2021 dan menubuhkan KDM bersama bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony pada Februari tahun lalu.
KDM pada mulanya menyatakan pendirian menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi kemudian menyertai Warisan dan Umno Sabah dalam cubaan menjatuhkan Hajiji ketika krisis politik Sabah pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, Peter melakukan pusingan U menyatakan kembali menyokong Hajiji dan GRS.
Juil sebelum ini menyatakan walaupun KDM mengubah pendirian terhadap GRS ketika krisis politik Sabah, sokongannya terhadap Hajiji dan GRS tidak pernah berubah.
Berikutan perkembangan terbaharu itu, KDM kini hanya diwakili Peter selaku ADUN Melalap dan Datuk Wetrom Bahanda (ADUN Bandau) yang menyertai KDM sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Oktober tahun lalu. – Info X