Search

Lelaki ditahan ketika leka punggah rokok seludup

May 25, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki yang sedang asyik memunggah rokok seludup berputih mata apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), di kawasan Batu Payung, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, sepasukan PPM Tawau membuat rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan.

Hasil pemantauan ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah beberapa kotak keluar daripada kereta jenis Proton Saga.

Anggota PPM kemudian menghampiri dan membuat pemeriksaan sebelum menemui 38 kotak berisi rokok pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM109,200 dan jumlah keseluruhan termasuk kenderaan RM144,200.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Lelaki ditahan bersama rokok seludup di Tawau.

“Suspek berusia 39 tahun serta barang kes dirampas dan dibawa ke pejabat PPM Tawau.

“Tangkapan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Info X