TAWAU: Tidak sampai 24 jam selepas masuk sebuah rumah di sekitar daerah ini, dua lelaki ditahan polis, semalam.
Kedua-dua suspek termasuk seorang warga asing berusia 23 dan 38 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, ketika mangsa berusia 70 tahun itu terbangun dari tidur di rumahnya telah menyedari telefon bimbit miliknya yang diletakkan di tepi tempat tidur hilang disyaki dicuri oleh orang yang tidak dikenali.
Katanya, bertindak atas maklumat pada hari yang sama jam 12.40 tengah hari, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai telah menahan seorang suspek warga asing berusia di kampung Sungai Haji Matahir Tawau, kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk rumah dan curi.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kes pecah masuk rumah bersama seorang lagi rakannya.
“Berpandukan arah oleh suspek membawa anggota polis ke sebuah rumah tanpa nombor di kampung Sungai Haji Matahir dan menahan seorang lagi suspek kerana terbabit dalam kes berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis turut membuat rampasan sebuah telefon bimbit beserta sarung telefon bimbit daripada suspek.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat kes-kes lain yang membabitkan suspek yang sama,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata, pihaknya sedang mempergiatkan lagi usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif. – info X