Search

Jenazah pendaki Malaysia Everest selamat dikebumikan di Papar

May 27, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, hari ini.

Allahyarham yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah disemadikan bersebelahan pusara ibunya, Dayang Fatimah Awang Ampuan Jair, sekitar jam 5.20 pagi.

Pengebumian itu turut dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri ahli keluarga, warga APM dan orang awam.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benoni.

Terdahulu, jenazah allahyarham tiba di MAS Kargo Kota Kinabalu sekitar jam 2.20 petang menggunakan pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan MH 2646.

Ketibaan jenazah allahyarham disambut beberapa tetamu kenamaan, pegawai dan anggota APM Sabah serta abang allahyarham, Awang Asim Ampuan Yaacub. Allahyarham yang juga Pengarah APM Kedah adalah seorang pendaki ME2023 namun disahkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan puncak Gunung Everest.

Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan selepas tidak dapat meneruskan misi menawan Everest ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut.Allahyarham meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada 19 Mei lalu. – Info X