KOTA KINABALU: Polis meminta pengurus sebuah premis supaya tampil membuat laporan polis bagi mengesahkan rakaman video viral yang menyaksikan seorang wanita diragut dalam sebuah kedai emas di Inanam, di sini, hanyalah lakonan semata-mata.
Selain itu, polis turut meminta pihak premis berkenaan memberi penjelasan kepada netizen di media sosial bagi mengelak kegusaran dan ketakutan dikalangan orang ramai khususnya, di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, video berdurasi tiga minit 32 saat itu menunjukkan seorang pelanggan wanita yang berada dalam kedai emas berkenaan didatangi oleh seorang lelaki yang turut berada dalam premis berkenaan.
Katanya, secara tiba-tiba lelaki itu bertindak meragut bakul berisi barang kemas yang telag dibeli oleh mangsa dari premis berkenaan sebelum melarikan diri.
“Berkaitan tersebarnya rakaman video itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah membuat risikan dengan menghubungi pengurus premis berkenaan bagi mendapatkan pengesahan berhubung insiden itu.
“Sehubungan itu, pihak pengurusan premis telah mengesahkan bahawa kejadian itu hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak menjadi mangsa ragut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Kalsom berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung rakaman video berkenaan.
Katanya lagi, jangan mudah mempercayai sebarang isu yang disebarkan dalam media sosial tanpa pengesahan oleh pihak yang berkenaan. – Info X