Search

KJ pertimbang tubuh parti politik baharu

June 5, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin kini mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baharu.

Katanya, perkara itu sebagai satu pilihan untuk beliau kembali ke pentas politik selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan dipecat oleh Umno, Januari lalu.

Beliau berkata dia pada mulanya tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

“Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut (menubuhkan parti baharu).

“Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya pada siri terbaru podcast “Keluar Sekejap”, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut percaya dengan menubuhkan parti baharu, beliau perlu bersedia untuk tidak memenangi pilihan raya, bagaimanapun lebih puas kerana ia dibentuk dengan cara sendiri.

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat Umno pada Januari lalu kerana melanggar disiplin parti akibat kesalahan ketika PRU15.

Beliau yang masih tidak mempunyai parti selepas pemecatan itu dilihat lebih selesa “menutup mulut” mengenai masa depan politiknya walaupun sudah ditawarkan menyertai Bersatu. – Info X