LABUAN: Seorang lelaki yang disyaki cuba menyeleweng petrol bersubsidi ditahan bersama 575 liter bahan api berkenaan dalam operasi Ops Tiris di sebuah jeti tanpa nombor, di sini, semalam.
Serbuan kira-kira jam 9 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Pejabat KPDN Labuan, Amiluddin Malang berkata, penahanan itu hasil risikan yang dijalankan selama tujuh hari oleh pasukan serbuan.
“Hasil serbuan itu menyita kira-kira 575 liter minyak disyaki petrol di dalam tiga tong drum di atas sebuah lori dengan nilai sitaan RM1,180.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun yang dipercayai pemandu lori berkenaan ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Wilayah ini.
“Ia bagi mengelak sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian,” katanya. – Info X