TAWAU: Perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) masih relevan dalam memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak orang Sabah, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli PBS untuk terus bekerja keras bagi memastikan parti berkenaan terus kuat dalam perjuangan untuk Sabah dan Sabahan.
“Kita kena bekerja keras untuk menambah keahlian baharu dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan PBS termasuk di daerah ini,” katanya.
Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-38 PBS Bahagian N.83 Sebatik yang diadakan di Kampung Murut, Ulu Kalabakan, di sini, pada Sabtu.
Seramai lebih kurang 380 ahli perwakilan dan pemerhati menghadiri AGM itu.
Dalam mesyuarat itu, Joachim turut mengalu-alukan kemasukan seramai 661 ahli baharu PBS.
Cawangan yang menerima keahlian baharu masing-masing ialah cawangan Jalan Polis, 70 orang; Jalan Masjit, 102 orang; Kg. Mangga, 90 orang; Pintu Gerbang, 100 orang; Jalan Sk Kalabakan, 110 orang; Jalan Atas Bukit Kalabakan, 89 orang dan Kg Ulu Murut *Kalabakan*, 100 orang.
Joachim berkata, PBS juga bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya diadakan pada bila-bila masa.
Beliau juga yakin Ibu Negara Indonesia iaitu Nusantara apabila ia sudah beroperasi kelak akan memberikan impak signifikan kepada rakyat di kawasan Sebatik dan seluruh Tawau, termasuk Ulu Kalabakan dalam aspek pembangunan.
“Landskap ekonomi seluruh daerah ini akan berubah dan ahli-ahli PBS di sini perlu mengambil peluang ini untuk memajukan diri, keluarga dan parti,” kata Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Hadir sama ialah Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti; Naib Exco Pergerakan Pemuda, Shahrun Nidzam Sharoom; dan Setiausaha PBS Kundasang, Japli Sami. – Info X