KUNAK: Tiga rumah dan sebuah bengkel kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Jaya Baru, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.35 pagi.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digerakkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal dan sebuah bengkel terbakar 80 peratus.
“Pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan daripada sumber air sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal pada 11.40 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca dan jumlah kerugian akibat kejadian ini masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X