Search

Tindakan tegas pengguna jalan raya langgar undang-undang

June 9, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan meningkatkan tahap penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Romie Matalip berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan lebih giat di negeri ini bagi mengambil tindakan tegas kepada pesalah jalan raya.

Katanya, fokus utama operasi adalah membendung masalah pengguna jalan raya yang tidak memiliki lesen memandu.

“Tahun ini diisytihar sebagai tahun penguatkuasaan JPJ Malaysia dan kita di Sabah juga turut tidak ketinggalan untuk menyahut saranan berkenaan.

“Jadi JPJ Sabah akan mengambil pendekatan untuk menjalankan operasi bersepadu bersama rakan strategik di seluruh negeri bermula di Tawau,” katanya.

Warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu, di Jalan Kuhara, di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam operasi tersebut adalah pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Mengulas lanjut, beliau berkata JPJ Sabah akan bertindak tegas termasuk menyita kenderaan sekiranya pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Katanya, operasi itu juga dibuat supaya membudayakan pemanduan berhemat dan pematuhan undang-udang lalu lintas kepada semua pengguna terutamanya di daerah ini.

“JPJ Sabah komited untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya melalui kolaboratif dengan rakan strategik di negeri ini.

“Selain itu, kita mahu membudayakan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang lalu lintas kepada semua pengguna di daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Romie berkata, setakat satu jam lebih operasi ini dilaksanakan, sebanyak 280 buah kenderaan sudah diperiksa.

“Sebanyak 42 pemandu telah diambil tindakan atas kesalahan lesen memandu, lesen GDL (Goods Driver License), lesen LKM, pelindungan insuran dan nombor pendaftaran kenderaan.

“Notis kompaun pula sebanyak 62 keping dikeluarkan termasuk enam notis penahanan kenderaan (sita).

“Manakala seramai lapan tangkapan dibuat oleh JIM Tawau atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – Info X