Search

KUPIKUPI FM Sarawak platform ketengah budaya, bakat anak tempatan – Snowdan

June 10, 2023

Info X Reporters

KUCHING: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, KUPIKUPI FM Sarawak boleh menjadi platform yang mengetengahkan kekayaan budaya, tradisi dan bakat anak-anak Sarawak.

Katanya, pelancaran KUPIKUPI FM Sarawak juga satu langkah yang proaktif dan berani dalam melancarkan lagi sebuah stesen radio di Sarawak.

“Saya tertarik dengan slogan mereka di mana ia lebih merangkumi kepada etnik kita seterusnya menjadi sebahagian daripada keluarga ‘Radio Orang Kita’,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran stesen radio berkenaan, di sini, semalam.

Sementara itu, pengasas dan pengarah bersama OOGA-X Sdn Bhd, Fui K Soong berkata, kehadiran KUPIKUPI FM Sarawak dengan misi menyatukan rakyat Borneo tepat pada masanya dan selari dengan arus perubahan masa.

“Batasan politik semakin kuat, ketidak tentuan global juga menjadikan komuniti kecil kita berasa ‘ragu-ragu’ terhadap masa depan.

“Saya percaya kita bersedia untuk menghargai sesuatu yang benar-benar ada dalam hati kita di Sarawak, tema kami untuk menyatukan rakyat Borneo bukan sahaja ‘bergema, tetapi amat bertepatan dengan arus perubahan masa,” katanya ketika berucap sempena perasmian KUPIKUPI FM Sarawak.

Fui turut berharap rakyat Sarawak mengalu-alukan kehadiran KUPIKUPI FM Sarawak sebagai ‘Homecoming Queen’.”Hari ini (semalam), saya berharap rakyat Sarawak bukan hanya menyambut kedatangan kami sebagai ‘kawan’ atau ‘bro’…tetapi menyambut kami sebagai ‘Homecoming Queen’, ya, sudah tiba masanya untuk kita kembali ke tempat asal kita!,” katanya.

Antara segmen yang ditonjolkan di KUPIKUPI FM Sarawak termasuk ‘Kupi Jem’, ‘Kacak Tipot’, ‘Jungo Krem’, ‘Rona roni’ dan ‘Sekoh Pagi’ bersama enam penyampai radio iaitu Lan Perey, Leez Zwita, Ezmir Sadriq, Jalee, Wena dan Maria.

KUPIKUPI Sarawak FM boleh didengari di frekuensi 92.5 Mhz. Laman web rasmi KupiKupi FM Sarawak di https://sarawak.kupikupifm.my/ – Info X