KOTA KINABALU: Mimpi menjadi kenyataan, itulah yang berlaku kepada 11 individu bertuah yang bakal diterbangkan ke Old Trafford bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka, Manchester United, musim depan.
Kesemua mereka merupakan pemenang cabutan tiket bertuah sempena majlis makan malam tahunan kali ke-5 United Malaysia yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, semalam.
Pada majlis berkenaan, lebih 1,000 orang termasuk daripada Sarawak dan Semenanjung hadir ke makan malam yang bertemakan “United, United, Still United”.
Selepas berehat selama empat tahun akibat pandemik Covid-19, majlis makan malam tahunan United Malaysia merupakan acara yang dinanti-nantikan yang turut menarik kehadiran ramai dalam majlis makan malam sebelumnya, dan kali terakhir diadakan pada 2019.
Presiden United Malaysia Batholomew Jingulam dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang menyokong acara tersebut.
“Selepas empat tahun kami akhirnya mengadakan Makan Malam Tahunan kami kembali, ia adalah sesuatu yang dinantikan untuk kami penyokong Red Devils bertemu di bawah satu bumbung.
“Sudah pasti yang amat dinanti-nantikan, mereka yang bertuah akan berpeluang memenangi perjalanan ke “Theatre Of Dream” (Old Trafford) untuk menonton perlawanan,” katanya.
Batholomew juga memberi penghormatan kepada semua ahli dan penyokong yang datang beramai-ramai ke majlis makan malam itu sebagai bukti kesetiaan mereka kepada Manchester United.
“Lihatlah semua yang hadir hari ini, Anda lihat, politik memecah belah, tetapi Manchester (United) menyatukan,” katanya.
Batholomew berkata, ramai yang bertanya sebelum ini, siapakan bekas pemain United yang akan dibawa pada makan malam tahunan berkenaan.
“Namun, selepas berbulan-bulan berbincang, kami memutuskan adalah lebih baik menghantar lebih ramai ke Old Trafford untuk merealisasikan impian mereka.
“Kami percaya bahawa bagi mereka yang masih belum pergi ke Manchester untuk melihat pemain kami secara fizikal, ia akan menjadi lebih bermakna daripada hanya seorang legenda yang datang ke sini,” katanya.
Sementara itu, terdapat juga cabutan bertuah lain yang menyaksikan peserta memenangi hadiah rasmi Manchester United serta barangan elektronik. – Info X