TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau merekodkan sebanyak 23 kes tangkapan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan itu membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah Akta Kawalan Bekalan, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan Akta Perikanan.
Katanya, Zon Maritim Tawau komited melaksanakan operasi dan pemantauan khususnya di kawasan perairan sempadan negara.
“Sebanyak sebuah kapal dan dua bot Maritim Malaysia di tugaskan setiap hari untuk menjaga perairan negara daripada diceroboh oleh penjenayah khususnya jenayah rentas sempadan.
“Kita juga mengharapkan semua komuniti maritim di daerah ini dapat memberikan kerjasama untuk melaporkan sekiranya melihat atau mengetahui aktiviti jenayah di sekitar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena sambutan Hari Kesedaran dan Keselamatan Maritim (HKKM) 2023, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai HKKM, Shahrizan berkata, program itu dilaksanakan setiap tahun bertujuan memberi kesedaran kepada setiap individu yang terlibat dengan aktiviti di laut.
“Kita mahu komuniti maritim mengetahui pentingnya mengambil berat soal keselamatan di laut dalam setiap aktiviti yang mereka dilakukan.
“Selain itu, kita mahu memperkenalkan dan memberi pengetahuan tentang peranan yang dimainkan oleh anggota Maritim Malaysia,” katanya.
Jelasnya, dalam program itu juga, Zon Maritim Tawau membuka tapak pameran untuk kunjungan orang ramai dan menerangkan tanggungjawab anggota Maritim Malaysia.
“Orang ramai juga berpeluang mempelajari teknik, persediaan dan perkara yang perlu dilakukan ketika berada di laut,” katanya.
Mengambil pengajaran mengenai insiden maut bot karam baru-baru ini, katanya, penggunaan jaket keselamatan sangat penting supaya mangsa boleh terapung dan boleh diselamatkan sekiranya berlaku kemalangan di laut.
“Setakat ini, kita masih mengambil pendekatan mesra dengan hanya memberikan nasihat dan amaran kepada individu yang tidak memakai jaket keselamatan ketika di laut.
“Namun, Zon Maritim Tawau tidak teragak-agak akan menguatkuasakan denda terhadap mana-mana individu yang mengabaikan penggunaan jaket keselamatan sekiranya ia terus berlaku,” katanya. – Info X