Search

Cubaan menipu projek KOGIP, 4 termasuk ‘Datuk’ ditahan

June 13, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk seorang bergelar ‘datuk’ ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan projek berkaitan Kudat Oil And Gas Industrial (KOGIP).

Kempat-empat suspek berusia 40 hingga 61 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sebuah hotel di sini, kira-kira jam 4 petang, 5 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis membuat tangkapan ke atas empat individu yang dikatakan cuba menawarkan projek-projek berkaitan dengan KOGIP.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek terbabit ini tidak mempunyai kuasa atau tidak mempunyai akses ke atas projek berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi mereka adalah dengan menawarkan projek KOGIP dan meminta wang pendahuluan.

Bagaimanapun setakat ini belum ada individu atau kontraktor yang tertipu.”Siasatan mendapati mereka ini menjadi ‘orang tengah’ untuk mendapatkan projek berkenaan, walhal projek itu di Kudat dahulu, tapi ia difahamkan belum sampai peringkat untuk ditawarkan dan masih dalam proses perbincangan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad, IPK Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Shahurinain Jais.

Jauteh berkata, siasatan juga mendapati semua suspek yang berasal dari luar Sabah turut melakukan penipuan di beberapa negeri.

“Polis juga mendapati terdapat laporan terhadap semua suspek sebelum ini, juga membabitkan kes penipuan.

“Polis juga sedang menyiasat gelaran salah seorang suspek yang mendakwa sebagai ‘datuk’,” katanya.

Menurutnya, semua suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu.

Sementara itu, Jauteh berkata, pihaknya menasihati kontraktor apabila berurusan berkaitan sesuatu projek, jangan memberi wang terlebih dahulu.

“Banyak kita terima aduan, mereka (kontraktor) yang memberikan wang pendahuluan sebagai bentuk pengurus. Sedangkan projek itu belum terbukti ada atau tidak.

“Ini menyebabkan apabila berlarutan, kes ini akhirnya projek tidak dapat, wang hilang. Oleh itu, mereka perlu sentiasa berhati-hati dan peka jika terdapat sebarang notis atau surat tawaran berkaitan sesuatu projek,” katanya. – Info X