KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menyiasat sekiranya berlaku ketidakcapaian standard dalam siasatan satu laporan oleh seorang mangsa bersama keluarganya, yang kemudiannya berakhir dengan satu kes pembunuhan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sekiranya siasatan yang dilakukan tidak mencapai standard, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai dan anggota yang terbabit.
“Memang betul ada laporan polis (dibuat mangsa dan keluarganya), kita akan menyiasat apa tindakan yang dilakukan dari segi siasatan.
“Sekiranya tidak mencapai standard, tindakan tatatertib akan diambil,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Terdahulu, keluarga kepada Nurul Ain Silien, 22, yang dibunuh di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada 29 Mei lalu, membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa dalam menangani laporan dibuat mereka sebelum pembunuhan itu berlaku.
Laporan polis itu dibuat ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabarhan di Balai Polis Karamunsing, kira-kira jam 12.30 tengah, semalam.
Peguam mewakili mangsa, Nabila Norsahar berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada 28 Mei lalu selepas tertuduh dalam kes itu, Chung King Fung, 32, dipercayai telah memarahi mangsa termasuk mengugut untuk memukulnya.
“Sehari sebelum kejadian iaitu pada 28 Mei, keluarga dan mangsa telah pun membuat laporan polis berkenaan dengan ugutan dan “harassment” daripada tertuduh.
“Tertuduh berbuat demikian kerana dia tidak puas hati mahu diputuskan hubungannya dengan mangsa, laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan susulan dan malangnya pada keesokkan harinya, berlaku kejadian yang tidak disangka iaitu kejadian kematian Nurul Ain (mangsa),” katanya.
Sementara itu, Siti Aminah berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengendalikan kes itu selain akan memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada pihak polis.
Bagaimanapun beliau sedikit kecewa kerana mereka langung tidak diberikan ‘panduan’ selepas dia dan mangsa membuat laporan polis sehari sebelum kejadian bunuh itu.
Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana membunuh Nurul Ain di kedai Polar Ice Cream, Lot B-48, Basement 1, Jesselton Mall, Jalan Haji Saman, di sini, pada 29 Mei, antara jam 12 hingga 12.20 tengah hari.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah juga menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan bedah siasat dari pihak hosital serta laporan data asid deoksiribonukleik (DNA) dan forensik dari Jabatan Kimia. – Info X