TAWAU: Sebuah treler membawa muatan minyak masak terbalik dalam kemalangan berhampiran lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, pemandu lelaki berusia 59 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu itu memandu dari Pelabuhan Tawau menuju ke Batu 2 Jalan Apas melalui Jalan Chong Thien Vun.
“Sebaik tiba di lokasi, lori berkenaan yang melalui lampu isyarat menghala ke bandar Tawau tiba-tiba hilang keseimbangan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang membawa kontena berisi muatan minyak masak itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan kes tersebut disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. – Info X