Search

Isu tuntutan waris Sultan Sulu – pendirian GRS kekal, gesa siasat mantan Peguam Negara

June 15, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa kerajaan supaya membuat siasatan lanjut berhubung tindakan mana-mana pihak yang telah mencetus ruang untuk pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping’.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka turut menggesa supaya siasatan dibuat ke atas mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam pihak penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan mesyuarat jemaah menteri sebagaimana jawapan Kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023.

“Gesaan kami juga adalah sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan mantan Peguam Negara tersebut dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.

“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap mantan Peguam Negara terbabit,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau).

Sementara itu, kenyataan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri atas strategi dan pendekatan berkesan yang telah diambil dalam menangani isu tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu (pihak penuntut) yang telah memfailkan tuntutan di empat buah negara bermula dari tahun 2019.

“Sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Dewan Rakyat semalam, terkini Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan (“Exequatur”) yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020.

“Kami menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” kata kenyataan itu.

Ahli-Ahli Parlimen GRS turut menyeru Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam Kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya Sabah.

“Ini termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan Kerajaan Sabah,” katanya kenyataan itu lagi. – Info X