SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna mematahkan cubaan menyeludup migran dan minyak petrol bersubsidi melalui Op Taring Gelora Khas, hari ini.
Operasi jam 3.30 pagi itu, migran Filipina cuba dibawa masuk ke Semporna manakala minyak petrol cuba diseludup keluar ke Filipina.
Menurut sumber, dua bot yang datang dari arah perairan Filipina ditahan di perairan Pulau Sibangkat, di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua juragan lelaki warg Filipina bertindak sebagai ‘botman’ dan mengaku dibayar untuk membawa masuk tujuh penumpang.
“Tujuh penumpang berusia 10 hingga 48 tahun itu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita dari Bungao Filipina ke Semporna. Semua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya di sini, hari ini.
Sumber berkata, dalam operasi yang sama, PPM merampas 4,500 liter petrol di sebuah bot di perkampungan atas air di Kampung Sri Jaya, di sini.

“Bahan api itu dipercayai hendak diseludup ke negara Filipina. Tiada pemilik yang berani tampil dalam rampasan ini.
“Jumlah rampasan bot dan minyak Petrol dianggarkan sebanyak RM152,378,” katanya.
Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi berkata semua tangkapan beserta bot diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut mengikut ATIPSOM.
katanya, rampasan minyak petrol bersubsidi diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk tindakan lanjut. – Info X