SANDAKAN: Dua penyeludup lari meninggalkan sebanyak 260 karton rokok seludup bernilai RM38,000 selepas kegiatannya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan di Batu 9, Jalan Old Labuk, di sini, semalam.
Rampasan itu dijalankan menerusi Op Taring Landai Khas pada 8.10 malam selepas sepasukan Unit Risikan PPM Sandakan yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Ketika pasukan PPM menghampiri untuk tujuan pemeriksaan, dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri.

Hasil pemeriksaan di tempat itu, menemukan sebanyak 260 karton rokok seludup pelbagai jenama disembunyikan di dalam semak.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.
Katanya, semua rokok yang bernilai RM38,000 dirampas untuk siasatan awal.
“Rampasan telah diserahkan kepada Kastam cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X