LABUAN: Mayat seorang kru kapal tunda yang disyaki jatuh laut ketika sedang bersauh di perairan Pulau Papan, di sini, semalam ditemui pagi tadi.
Mayat Kenneth Anak Saing, 33, ditemui oleh pasukan mencari pada kedudukan 20 meter selatan Jeti Feri Labuan, jam 7.45 pagi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi Carilamat sekitar jam 9.40 malam sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian dari Pusat Operasi Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan.
Katanya, mangsa yang bekerja di atas kapal tunda tempatan, Tanjung Biru 1, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan oleh rakannya.

“Kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 6 petang semalam dan semua barang peribadi mangsa masih lagi berada di atas kapal.
“Kapal tunda itu dikatakan sedang bersauh sebelum meneruskan perlayaran menuju ke Miri Sarawak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sejurus operasi Carilamat diaktifkan, bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membuat pengesahan dan melakukan pencarian awal mangsa.

“Operasi turut membabitkan bantuan aset dan anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mayat mangsa berjaya ditemui pada 7.45 pagi tadi oleh pasukan mencari di kedudukan 20 meter selatan Jeti Feri Labuan. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi Carilamat ditamatkan pada 8.35 pagi. – Info X