TAWAU: Empat rumah dan tujuh kenderaan di Kampung Hidayat, Jalan Apas, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 1.43 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.
“Empat rumah dan tujuh kenderaan terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah kedai dan dua rumah kediaman.
“Operasi terkawal pada 2.29 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 4.07 pagi. Punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X